| |

Haji Awang Lambor ( 1900-1963)
Salah
seorang guru pondok yang paling berpengaruh di Jajahan Tumpat pada pertengahan
abad ke-20 Masihi. Seangkatan dengan Haji Mohd Saleh Pedada, Haji Yaakub Kelong,
Haji Daud Getting dan Haji Pak Man Berangan.
Nama sebenar tokoh ulama yang dilahirkan di Kg. Padang
Merbau, Lambor, Wakaf Bharu, sekitar 1900 ini ialah Haji Abdullah bin Haji Omar.
Bapanya Haji Omar bin Haji Abdul Rahman-lepasan pondok di
Patani-ialah seorang Khatib di surau mukim Jal Kecik, juga adik kepada Haji
Yusuf bin Haji Abdul Rahman, Imam Tua mukim Meranti di Jajahan Pasir Mas.
Datuknya Haji abdul Rahman yang berasal dari Kota Bharu Reman, adalah iman
perintis di surau Mukim Jal Kecik. Beliau sendiri bersepupu dengan Hajjah Zainab
bt Haji Yusoff yang kemudiannya menjadi isteri kepada Tuan Guru Haji Mohd Zain
Meranti, guru awalnya. Seorang sepupunya lagi ialah Haji Ahmad bin haji Yusoff ,
Imam Mukim meranti yang meninggal dunia pada 21 Ogos 1961. Juga bertalian dua
pupu dengan Tuan Guru haji Abdullah bin Haji Ali, Kg. Jalah , Bunut Susu (meninggal
2 Ogos 1931).
Manakala Pak Chu Haji Amat Saman bin Haji Abu, guru
Al-Quran
ternama di kawasan Lambor/ Kubang Batang sebelum bah Air Merah (1926) itu pula
ialah abang iparnya.
Kerana latarbelakang keluarga yang sedemikian maka tidak hairanlah jika beliau
sudah mula terdedah kepada pengajian asas agama sejak kecil lagi.
Selepas menuntut beberapa ketika dengan Tok Kenali dan Tok
Selehong, Beliau pergi menamat di Kota Makkah selama 9 tahun lagi. Barisan
gurunya termasuk Syeikh Omar Hamdan, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Senggoro, Tok
Shafie Kedah, Pak Chik Wan Daud Patani, Haji Sulong Patani, Pak Da Ali Patani
dan Syeikh Muhammad bin Syeikh Nik Dir Patani.
Pada 1934, pulang ke Kelantan lalu mendirikan Pondok Lambor
yang telah melahirkan tokoh-tokoh seperti Haji Mat Nor Rushdi Haji Awang Gagah (pengasas
Pondok Tasat di Legor, Thailand), Haji Wan Mat Wan Saleh (pendiri Pondok Paya
Ular di Bunut Susu), Haji Mohd Nor Haji Abdullah (guru Pondok Teliar), Pak Su
Che Wil Haji Abdul Rahman (Imam Tua mukim Delima), Pak Su Loman (Imam Bunut Susu),
Haji Yaakub Awang, Kg Jelutong, Gunong, Bachok dan Haji Che Wil Abdul Latif, Kg
Meranti Besar.
Tuan Guru Haji Awang Lambor berpulang ke rahmatullah pada
pukul 3 petang Sabtu 27 Zulkaedah 1382 bertepatan 20 April 1963 dan dikebumikan
di tanah perkuburan Islam Pondok Lambor, Wakaf Bharu.
|
|