| |

ABDUL KADIR ADABI
1901-1944
Tokoh penulis dan novelis Kelantan yang cukup terkenal. Lahir di Kampung Raja Dewa, Kota Bharu pada 17 Ogos 1901, Abdul Kadir
menerima pendidikan awal daripada Tuan Guru Haji Nik Daud Atas Banggol, sebelum menjadi pelajar printis di Madrasah
Muhammadiyyah (Melayu) Majils Ugama Islam Kelantan yang baru dibuka pada 1917. Antara guru-gurunya semasa belajar di
madrasah ini ialah Haji Muhammad bin Dato’ Haji Muhammad Said (kemudiannya Dato’ Laksamana), yang sempat membimbingnya
belajar mengarang dan menterjemah.
Abdul Kadir mula melibatkan diri dalam kerja-kerja penulisan pada awal dekad 1920 an, iaitu sewaktu beliau bekerja menjadi penulis
petisyen. Tulisan-tulisannya tersiar dalam majalah Pengasuh, juga majalah-majalah di luar Kelantan seperti
Edaran Zaman dan Saudara. Kerana tulisan-tulisannya sangat kontroversial, juga bersifat kritik sosial, maka ini telah
menyebabkan beliau tidak disenangi oleh banyak pihak terutama dari kalangan atasan dan pihak berkuasa agama.
Pada tahun 1929, bersama-sama dengan As’ad Shukri bin Haji Muda, beliau menubuhkan Putera Club, dan menerbitkan majalah
Putera sebagai lidah rasminya. Tetapi tidak lama, berikutan tersiarnya sebuah rencana bertajuk
"Ulama Mana Pengganti Nabi” yang
mengkritik sesetengah ulama, majalah Putera telah menjadi sasaran kecaman pegawai tinggi agama dan terpaksa dihentikan. Pada
April 1930, Abdul Kadir menerbitkan majalah Kenchana pula. Tetapi selepas satu tahun sepuluh bulan, majalah kedua beliau ini juga
terhenti atas sebab-sebab kewangan. Tidak lama kemudian, awal Februari 1932, beliau mengisi masa lapangnya dengan bekerja
menjadi penyunting majalah Pengasuh di bawah pimpinan bekas gurunya, Dato’ Laksamana. Selepas dua bulan, kira-kira pada
bulan April, beliau meninggalkan Pengasuh untuk bergabung dengan sahabat sahabatnya bagi menerbitkan buku-buku pengetahuan
umum di bawah sin “Kenchana Library” pula.
Mulai April 1934, Abdul Kadir menyertai majalah
al-Hikmah, membantu pengarangnya Haji Ahmad Ismail. Tugas ini dipegangnya
sehingga 1941, apabila penerbitan al-Hikmah terhenti berikutan pecah Perang Dunia Kedua. lnilah waktunya apabila tulisan-tulisan
beliau mencapai darjah kematangan dan daya intelektual yang tinggi. Selain menulis, Abdul Kadir juga terlibat dalam berbagai
badan sosial dan budaya seperti Setiawan Belia dan Dewan Bahasa Me!ayu
Kelantan. Selain itu, beliau juga dikenal aktif dalam
badan politik - Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan sebelumnya Persatuan Melayu Semenanjung.
Sehingga ke akhir hayatnya Abdul Kadir telah menghasilkan sekitar 110 buah tulisan, tiga buah novel
asli (Acuman
Mahkota,Sebelas Rejab dan Melati Kota Bharu) serta sebuah novel saduran berjudul
Persemburan Darah Di Bawah Lipatan Takdir. Meninggal dunia dalam usia muda di Kuala Terengganu pada 24 Februari 1944.
|
|